PENGURUSAN BILIK DARJAH
1.0 PENGENALAN
Semasa di sekolah, para guru menghabiskan sebahagian besar masa mereka di dalam bilik darjah. Besar kemungkinan ada yang akan mengatakan bahawa bilik darjah ialah bilik guru mengajar dan murid belajar. Itulah gambaran paling mudah tentang bilik darjah. Ia merupakan tempat proses pengajaran dan pembelajaran berlaku. Secara rasmi, bilik darjah boleh ditakrifkan sebagai sebuah bilik di mana sekumpulan murid diajar oleh seorang guru. Bilik darjah merupakan satu organisasi yang sangat mudah yang terdiri daripada guru dan sekumpulan pelajar dalam lingkungan umur yang sama dan mempunyai matlamat dan harapan yang sama. Menurut Akta Pendidikan, murid atau pelajar merupakan seseorang yang menerima pendidikan atau latihan. Suasana fizikal bilik darjah adalah penting bagi pembelajaran sebab ia boleh menggalakkan atau menghalang pembelajaran. Suasana bilik darjah yang teratur merupakan sebahagian daripada pengajaran yang berkesan. Menurut Marland (1975), suasana fizikal dalam bilik darjah mungkin merupakan ‘kawan’ atau ‘musuh’ dalam pengajaran. Susunan fizikal bilik darjah boleh memberi sumbangan dari segi kawalan, pembelajaran, perhubungan guru dan murid, murid dengan murid dan keseronokan bekerja bersama-sama. Pengurusan bilik darjah adalah satu proses untuk memastikan pelajaran dalam bilik darjah dapat berjalan dengan lancar walaupun pada masa yang sama berlaku gangguan daripada tingkah laku murid. Ramai yang mengatakan pengurusan bilik darjah merupakan aspek yang paling sukar. Malah Maskowitz dan Hayman (1976) pernah menyatakan sekali guru kehilangan kawalan ke atas bilik darjah, akan menjadi lebih sukar untuk dapat dikawal semula. Secara umumnya pengurusan bilik darjah boleh diumpamakan seperti “pengorkestraan kehidupan dalam bilik darjah dengan merancang kurikulum, mengorganisasi prosedur dan sumber, menyusun atur persekitaran untuk memaksimumkan kecekapan, memantau kemajuan pelajar, dan menjangka kemungkinan masalah.” Lemlech (1988). Namun begitu pengurusan bilik darjah yang berkesan dan berjaya menurut Anderson (1989) ialah tingkah laku yang menghasilkan penglibatan pelajar yang maksimum dalam aktiviti pembelajaran dan meminimumkan tingkah laku pelajar yang menganggu tugas guru dan pelajar lain serta penggunaan masa pembelajaran yang efisen. Maka, jelaslah bahawa pengurusan bilik darjah sangat penting dari pelbagai aspek bagi memastikan kelangsungan ilmu yang diperolehi.
2.0 LATAR BELAKANG
Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Empat atau nama ringkasnya SMK Jalan Empat, merupakan sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan yang terletak di Jalan 4/10 Seksyen 4. Pada 2009, Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Empat memiliki 662 pelajar lelaki dan 803 pelajar perempuan, menjadikan jumlah keseluruhan murid seramai 1465 orang. Ia mempunyai seramai 89 orang guru. Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Empat (SMK Jalan Empat) ialah sebuah sekolah menengah yang terletak di Bandar Baru Bangi, Selangor. Sekolah ini merupakan sebuah sekolah berprestasi tinggi (SBT) kerana pihak sekolah akan mengambil masuk pelajar yang mempunyai keputusan peperiksaan yang cemerlang sahaja. Sekolah ini dikenali ramai kerana kecemerlangan pelajar dalam akademik. Sekolah ini telah memenangi anugerah Sekolah Harapan.
Sekolah ini dibuka dengan rasminya pada 6 Januari 2003 dengan bilangan pelajar tingkatan 1 berjumlah 143 orang oleh pengetuanya, Datin Hajah Ramlah binti Abdul Rahman. Kini, pelajarnya menjangkaui 1000 orang. Datin Hajah Ramlah telah bersara pada bulan Jun 2007. Puan Kamariah dari Sekolah Menengah Jalan 2 telah menggantikan tempatnya. Pada tahun 2008, sekolah ini telah memenangi anugerah Sekolah Cemerlang. Kemudian pada tahun 2009 Puan Kamariah telah dipindahkan ke Sekolah Dusun Nanding dan digantikan dengan Puan Hjh Norizan. Sekolah ini juga telah mendapat anugerah lompatan sarjana dan merupakan antara sekolah yang cemerlang SPM di Selangor. Pada tahun 2010, sekolah ini telah dinobatkan Sekolah Kebangsaan terbaik di seluruh Malaysia untuk PMR 2009. Detik ini ialah saat yang amat membanggakan. Jumlah pelajar yang mendapat semua A dalam Penilaian Menengah Rendah juga memberangsangkan, iaitu dengan jumlah 108 orang pada tahun 2005, 128 pada tahun 2006, 176 pada tahun 2007, 201 pada tahun 2008, 168 pada tahun 2009 dan 203 pada tahun 2010. Pada tahun 2011 juga, SMK Jalan empat telah dikategorikan sebagai salah satu Sekolah Berprestasi Tinggi Kohort 2 di Malaysia. Moto bagi sekolah ini pula ialah Berilmu, Beramal, Ikhlas, Berbakti.
Pada tahun 2004, pihak Sidang Redaksi Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Empat telah menerbitkan majalah Bitara yang pertama. Detik ini telah menjadi satu titik permulaan kepada penghasilan majalah BITARA yang lebih canggih. Pada tahun 2008 pula, Sidang Redaksi Majalah Bitara Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Empat di bawah pimpinan Setiausaha Guru, Puan Fatimah Sepuan, dan Ketua Editor tahun tersebut telah menghasilkan majalah BITARA edisi ke-5 yang memaparkan banyak perubahan. Ketua Grafik, Leana Fatimah Binti Makhdzir dan semua ahli sidang redaksi juga telah menjadi tulang belakang kepada penghasilan majalah ini. Pada tahun 2008 juga, CD Bitara yang pertama dikeluarkan. Sidang redaksi sekolah bertanggungjawab untuk memastikan tatapan dan isi majalah sekolah kekal mantap dan berkualiti. Sehingga 2010, sebanyak 7 buah jilid majalah telah dikeluarkan.
3.0 OBJEKTIF KAJIAN
3.1 Mengenalpasti Ilmu mengurus bilik darjah
3.2 Merancang Kemahiran mengurus bilik darjah
3.3 Membincangkan Strategi mengurus bilik darjah
3.2 Merancang Kemahiran mengurus bilik darjah
3.3 Membincangkan Strategi mengurus bilik darjah
4.0 DAPATAN KAJIAN
4.1 Ilmu Mengurus Bilik Darjah
Dalam pengurusan bilik darjah, corak dan suasana di dalam kelas dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Guru-guru hendaklah mempunyai ilmu bagi mengawal faktor-faktor tersebut. Faktor yang boleh mempengaruhi corak dan suasana interaksi di dalam bilik darjah pada lazimnya boleh diklasifikasikan kepada tiga kategori iaitu faktor fizikal, faktor kemanusiaan yang boleh di lihat dari segi faktor sosial dan emosi, dan faktor teknikal .(Mak Soon Sang,2008).
Guru hendaklah mempunyai ilmu untuk mengawal faktor fizikal. Faktor fizikal merangkumi segala bentuk kemudahan dan peralatan yang terdapat di sekolah. Bilik darjah yang kondusif mestilah mempunyai peralatan asas iaitu papan hitam, papan kenyataaan, dan ruang yang selesa, meja dan kerusi untuk guru dan murid, almari, yang di hiasi dengan penyediaan bahan-bahan bacaan, dan bahan bantuan mengajar serta peralatan sokongan serta dihiasi dengan keceriaan dan kebersihan. Susunan meja dan kerusi dalam bilik darjah sebaik-baiknya memberi kemudahan kepada murid-murid mengadakan aktiviti pembelajaran berpusatkan murid dan aktiviti berkumpulan. Murid mudah berinteraksi sesama mereka dan mudah berinteraksi dengan guru. Bilik darjah yang berukuran 7 meter x 9 meter boleh memuatkan 40 orang murid. Cahaya yang mencukupi dan pintu dan tingkap yang terbuka yang membolehkan pengedaran udara yang secukupnya. Papan kenyataan yang dilengkapi dengan jadual waktu, jadual bertugas, carta organisasi, pelan keselamatan, sudut mata pelajaran, sudut bacaan atau rujukan, kata-kata motivasi, termasuk kemudahan penggunaan laman web, komputer dan CD dan LCD sehingga melahirkan pembudayaan bilik darjah yang kondusif. Hasilnya terjelma suasana yang harmonis, ceria, dan semangat kepada murid dan guru untuk berada lebih lama kerana terasa seolah-olah berada dalam sebuah rumah sendiri, wujudnya perasaan saling berkerjasama dan kekitaan dan semangat berdikari, iaitu bersama berusaha memajukan diri dan kumpulan secara kolektif.
Guru juga mestilah mempunyai ilmu untuk mengawal faktor sosial. Faktor sosial merujuk kepada perhubungan dan corak interaksi di antara murid dengan murid, khasnya di dalam bilik darjah. Murid-murid dalam sesebuah bilik darjah biasanya terdiri daripada latar belakang dan sifat yang berbeza-beza. Terdapat juga murid yang mempunyai sifat pendiam atau pemalu tidak suka bergaul dengan dengan murid yang lain. Oleh itu guru perlulah bijak merangsang dan menggalakkan perkembangan sosial murid-muridnya dengan menunjukkan sikap yang adil semasa melaksanakan peraturan kelas (Mok Soon Sang,2008). Dalam pendekatan memusatkan bahan, interaksi akan berlaku di antara guru kepada murid yang di kenali sebagai komunikasi sehala, interaksi guru dengan murid yang di kenali sebagai komunikasi dua hala, serta interaksi guru dengan murid, murid dengan guru, dan murid dengan murid, yang di kenali sebagai komunikasi pelbagai hala. Selain itu faktor sosial juga dapat dilihat melalui prosedur semasa menjalankan aktiviti dalam bilik darjah dimana guru perlu menetapkan perkara atau rutin pergerakkan yang murid boleh atau tidak boleh lakukan dengan sistematik, seperti cara murid memasuki kelas dan keluar kelas contohnya keluar ke tandas, cara murid bergerak untuk melakukan tugasan dalam aktiviti berkumpulan contohnya mesti berada dalam kumpulan masing-masing dan tidak merayau-rayau dalam kelas, cara murid untuk mendapatkan bahan-bahan pembelajaran contohnya mendapatkan pensil warna dan lembaran kertas kerja dari guru.
Selain itu, guru-guru hendaklah mempunyai kebolehan untuk mempengaruhi emosi murid-murid. Faktor emosi merujuk kepada perasaan murid-murid terhadap guru mereka. Suasana emosi ini akan menimbulkan jenis-jenis tingkah laku murid yang ditentukan oleh sifat guru dan gaya mengajarnya. Mengikut kajian, suasana emosi bilik darjah yang kondusif biasanya di timbulkan oleh guru yang mempunyai sifat-sifat seperti penyayang, bertimbang rasa, peramah dan lucu, serta menjalankan tugas dengan bertanggungjawab dan adil, mengamalkan sikap demokrasi dan tidak memilih kasih (Mok Soon Sang, 2008). Faktor emosi juga dapat dilihat melalui kepimpinan guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Antara jenis kepimpinan guru ialah, Gaya Kepimpinan Autokratik iaitu mengawal murid melalui ganjaran dan hukuman sehingga mengwujudkan suasana yang tertekan dan tidak menarik serta tidak kondusif. Gaya Kepimpinan Demokratik iaitu berkongsi tanggungjawab dengan murid dengan memberikan galakan bukannya dengan desakan bagi menghasilkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang lebih menarik dan menyeronokan. Gaya kepimpinan Laissez-Faire iaitu kebebasan sepenuhnya dalam apa jua aktiviti pembelajaran sehingga menjadikan bilik darjah tidak terurus, kucar kucir, dan perhubungan antara guru dan murid menjadi tidak akrab dan mesra.. Selain itu guru juga perlu peka dengan tugasan yang di berikan kepada murid berorientasikan kepada peningkatan interaksi dan pertumbuhan kognitif di kalangan murid-murid (Dr Ragbir Kaur, 2008). Dengan kata lain tugasan yang di berikan kepada murid-murid dapat mewujudkan iklim yang kondusif serta membantu dalam penyediaan bahan dan alatan, tugasan-tugasan yang diberikan kepada setiap murid pada awal tahun lagi dapat membantu mengembangkan budaya bertanggungjawab, berkerjasama serta hubungan yang baik antara mereka dan juga hubungan antara guru dengan murid, dan peranan guru sebagai pembantu penyelesaian masalah yang dihadapi oleh murid-murid (Haji Samsudin bin Md Noor).
Akhir sekali, guru-guru mestilah mempunyai ilmu mengawal faktor teknikal. Faktor teknikal yang merujuk teknik-teknik yang digunakan untuk merangsang semangat dan kesediaan belajar. Faktor ini merangkumi aspek kemahiran guru, kecekapan penggunaan alat bantu mengajar mengikut peruntukan masa serta aktiviti-aktiviti yang boleh merangsang aktiviti pembelajaran seperti pertandingan perbahasan, deklamasi sajak, kuiz, drama dan sebagainya. Aktiviti-aktiviti ini dapat merangsang semangat belajar murid agar mereka berusaha dengan lebih giat lagi (Mok Soon Sang, 2008). Di samping itu, persediaan guru merangkumi pelbagai alatan dan bahan untuk kegunaan guru dan murid merupakan sebahagian daripada pengurusan bilik darjah dinamik. Ada kalanya murid tidak memberi perhatian atau berkelakuan luar daripada nilai-nilai murni yang hendak diterap boleh dilihat berpunca daripada tidak terdapat kesinambungan dalam pelajaran disebabkan persediaan guru dari aspek bahan, perlatan, pengetahuan dan kemahiran yang kurang mantap (Haji Samsudin Bin Md Noor). Walau bagaimanapun, kehebatan pengajaran guru bergantung kepada kejelasan suara, gaya pengajaran yang menarik, fleksibiliti iaitu tidak sehingga membosankan, inovasi, kreatif, pendekatan yang sentiasa digunakan untuk membaiki kelemahan murid, penglibatan murid dalam aktiviti kelas, dan pengurusan masa yang berkesan. (Haji Samsudin bin Md Noor).
Kesimpulan, kejayaan seseorang guru sebagai pengurus di bilik darjah tidak semata-mata dinilai daripada aspek kemahiran dan teknik pengajaran dan pembelajaran semata-mata, malah kualiti peribadi dan sahsiah diri juga menjadi tarikan kepada murid-murid. Untuk menjadi guru yang berdedikasi dan di sukai murid guru mestilah bijak memainkan peranannya sebagai pengurus dalam bilik darjah dengan mewujudkan bilik darjah yang kondusif dengan memasukkan faktor-faktor fizikal, sosial, emosi, dan teknikal yang telah dibincangkan demi meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran sehingga ke peringkat optimum. Akhir sekali, guru yang berwawasan mestilah bertindak sebagai mualim, muaddib, murabbi, mursyid, dan dalam masa yang sama sebagai fasilitator, pembimbing dan kaunselor yang sentiasa komited dengan kerjayanya iaitu menumpukan perhatian dengan bersungguh-sungguh melaksanakan tugas. Sabda Rasulullah SAW bermaksud,‘sesungguhnya Allah suka apabila seseorang itu melakukan pekerjaan dengan tekun’. (Riwayat Baihaqi)
4.2 Kemahiran Mengurus Bilik Darjah
Kebelakangan ini tentunya tiada siapa yang dapat menafikan bahawa kerjaya sebagai seorang guru banyak dibebani dengan pelbagai tugas yang rencam dan tidak profesional. Beban tugas yang dipertanggungjawabkan ini mungkin akan memberi beberapa implikasi positif dan negatif kepada kerjaya seorang guru. Apapun tugas yang perlu dilakukan, seorang guru, mereka haruslah bijak mengurus dan mengatur masa dalam memastikan segala tugas sampingan yang dipertanggungjawabkan ini tidak mengganggu tugas utama mereka mengurus bilik darjah dengan baik. Pengurusan bilik darjah merupakan komponen yang paling sukar untuk dikuasai walaupun banyak teori yang telah dipelajari dan banyak teknik yang telah cuba diaplikasikan. Masalah ini seolah-olah tiada penawar yang dapat menyelesaikannya secara pantas dan tuntas. Pengurusan bilik darjah termasuklah mengurus tingkah laku pelajar merupakan kemahiran yang hanya akan dicapai melalui pengalaman mengajar.
Perkara utama yang perlu diberi perhatian oleh guru ialah bagaimana beliau akan mengurus bilik darjah pada hari pertama beliau melangkah masuk ke bilik darjah untuk mengajar. Para pelajar secara langsung akan terus menilai guru yang akan mengajar mereka. Bagi pelajar, guru tersebut merupakan individu yang begitu asing buat mereka dan mereka akan meneliti setiap gerak-geri guru tersebut sebelum mereka menunjukkan tingkah laku mereka yang sebenar. Sebagai seorang guru, kita perlu lebih bersedia dan merancang apakah yang akan kita lakukan pada kali pertama melangkah masuk ke dalam bilik darjah. Elemen-elemen ini merupakan sesuatu yang akan membantu kita sepanjang pengajaran.
Pengetahuan guru mengenai nama dan latar belakang pelajar akan dapat membantu mengeratkan lagi hubungan dengan pelajar sekaligus dapat membantu guru mengawal bilik darjahnya dengan baik dan cekap. Kaedah ini akan memudahkan guru untuk berkomunikasi dan berinteraksi dengan pelajarnya ketika proses pengajaran dan pembelajaran berlaku ataupun ketika berurusan di luar bilik darjah. Pelajar akan berasa bangga dan dihargai apabila mereka dipanggil oleh guru. Perkara ini amat jelas kepentingannya dan turut ditegaskan oleh Bartlett (2004), beliau menyatakan seorang guru perlu mengingati nama dan mengetahui latar belakang pelajar-pelajarnya. Secara tidak langsung akan menunjukkan guru itu mengambil berat terhadap kesemua pelajarnya di bilik darjah. Pelajar akan merasakan hubungan yang lebih rapat dan mesra dengan guru. Guru pula mampu mendekati pelajarnya, memilih teknik yang paling sesuai untuk mendidik dan seterusnya mendorong mereka untuk terus berusaha ke arah peningkatan kecemerlangan akademik serta sahsiah diri mereka.
Prosedur menetapkan peraturan di bilik darjah sangat penting sebagai garis panduan kepada tingkah laku pelajar di bilik darjah yang diharapkan oleh guru. Jelaslah untuk mengurus bilik darjah dengan baik, guru perlu menetapkan peraturan di bilik darjah yang telah dipersetujui bersama oleh pelajar sebagai satu kontrak yang dapat mengawal tingkah laku mereka. Antara contoh peraturan yang perlu diwujudkan ialah seperti peraturan mengenai apa yang perlu dilakukan oleh pelajar ketika guru mengambil kedatangan pelajar, penggunaan cecair pemadam, bagaimana prosedur menjawab pertanyaan guru dan juga peraturan khusus apabila aktiviti kumpulan dijalankan. Kontrak yang ditandatangani ini akan dirujuk sekiranya pelajar melakukan kesalahan. Robertson (1989) menyatakan guru perlu yakin, tegas dan mengetahui tentang haknya untuk bertindak dalam menguruskan tingkah laku pelajar di bilik darjah. Oleh itu, guru perlu tegas dan konsisten dengan apa yang telah ditetapkan dalam prosedur peraturan tanpa ada pengecualian kepada mana-mana pelajar. Guru juga perlu menjelaskan harapannya terhadap pelajar dan perkara-perkara yang tidak disukai dilakukan oleh pelajar.
Guru juga perlu membuat perancangan yang rapi berkaitan dengan susun atur di bilik darjah. Susunan yang baik seharusnya membolehkan guru memerhati semua pelajarnya dan seterusnya dapat mengendali bilik darjah dengan mudah. Ruang yang kerap digunakan sepatutnya tidak mempunyai sebarang bentuk halangan dan mudah dilalui. Pelajar juga perlu berada di dalam kedudukan yang selesa di mana mereka boleh melihat guru ataupun sebarang persembahan pengajaran oleh guru tanpa perlu berpaling ataupun bergerak ke mana-mana. Bahan yang kerap digunakan di dalam bilik darjah seperti buku rujukan dan kad kebenaran keluar bilik darjah sepatutnya ditempatkan di tempat yang mudah diambil apabila diperlukan.
Selain itu, guru juga boleh menyediakan satu sudut yang boleh membantu pelajar mengisi masa yang terluang dalam satu suasana yang berbeza berbanding bilik darjah mereka tetapi masih mengekalkan budaya belajar pada ruang tersebut seperti perpustakaan mini. Ruang ini bolehlah dihiasi dengan hiasan yang ringkas dan unik agar pelajar merasa selesa dan tenang. Marsh (2004) turut memberikan idea yang sama dengan Kronowitz. Marsh (2004) mengatakan bahawa tindakan guru meletakkan tumbuhan ataupun binatang peliharaan seperti ikan atau burung di dalam bilik darjah akan membantu pelajar membina sikap bertanggungjawab dalam diri mereka melalui tugas mereka dalam menguruskan tumbuhan ataupun binatang peliharaan tersebut. Glenn (2001) menegaskan bahawa persekitaran bilik darjah yang ceria dan gembira akan mendorong ke arah pembelajaran yang lebih memberangsangkan.
Guru juga perlu membina dan menjaga hubungan baik dengan pelajar. Dalam menguruskan pelajar, guru perlu bersabar dan banyak bertolak ansur untuk memenangi hati pelajar agar pelajar akan menghormati guru sebagai pendidik mereka. Barbetta (2005) menyenaraikan beberapa kesilapan yang dilakukan oleh guru dalam mengendalikan tingkah laku pelajarnya. Beliau ada menegaskan bahawa pujian dari guru merupakan satu kaedah yang bernilai dan berkesan untuk membantu pelajar mengubah tingkah laku mereka seterusnya meningkatkan proses pembelajaran di bilik darjah. Menurut Model (2005) pula, pelajar yang tidak pernah dipuji tentang tingkah laku mereka yang positif, tidak akan mempunyai motivasi yang tinggi untuk mengukir kejayaan di dalam pelajarannya. Spitall (2005) bersetuju dengan pandangan oleh Barbetta (2005) dan Model (2005) dengan menasihatkan guru agar mengelak daripada menggunakan sindiran ketika menasihati pelajar yang bermasalah. Jika seorang guru menggunakan sindiran untuk menegur kesilapan yang dilakukan oleh pelajarnya akan membuahkan hasil yang tidak diingini. Sindiran ini akan lebih mendorong pelajar untuk meneruskan kesilapan mereka sebagai balasan kepada sindiran guru terhadap perbuatannya.
Guru perlu akur dengan kenyataan ini kerana tanpa peneguhan, sikap positif yang dilakukan oleh seorang pelajar akan dianggap seperti tidak mendatangkan apa-apa faedah terhadap pelajar yang melakukannya. Menurut Glenn (2001), guru perlu menunjukkan contoh sikap yang baik kepada pelajar seperti mengambil berat, bertanggungjawab dan hormat-menghormati agar pelajar turut bertindak seperti apa yang guru mereka pamerkan. Di samping persediaan fizikal, persediaan guru untuk mengurus subjek yang diajar juga memerlukan perhatian yang sepenuhnya agar tugas guru menjadi lebih lancar dan sempurna. Guru sangat perlu mengetahui dan memahirkan diri mereka dengan subjek yang akan diajar. Kandungan pelajaran juga perlulah disampaikan secara tersusun dan berperingkat-peringkat.
Untuk melengkapkan kemahiran seorang guru, mereka perlu menitikberatkan keterampilan penyampaian ketika memulakan sesi pengajaran di bilik darjah. Kemahiran set induksi merupakan kemahiran utama yang perlu dikuasai oleh seorang guru dalam menarik minat serta merangsang pelajar supaya menumpukan perhatian terhadap aktiviti pengajaran yang akan disampaikan. Set induksi yang dijalankan ini perlulah menarik, bersesuaian dengan tahap pelajar dan berkaitan dengan isi pelajaran serta pengetahuan sedia ada pelajar. Kesannya, pelajar akan bersedia, aktif dan seronok dalam meneruskan aktiviti pembelajaran mereka.
Kemahiran menyoal meliputi teknik mengemukakan soalan kepada pelajar dan teknik penerimaan jawapan pelajar. Kemahiran menyoal boleh digunakan di setiap peringkat pengajaran seperti set induksi, perkembangan dan penutup pengajaran. Aras soalan yang dikemukakan perlulah bersesuaian mengikut umur, kebolehan dan pengalaman pelajar. Perkataan dan istilah yang digunakan juga mestilah ringkas, jelas, tepat, mudah difahami dan daripada topik yang telah dipelajari di bilik darjah. Apabila mengemukakan soalan, guru perlu memastikan pelajar dalam keadaan bersedia dan soalan tersebut perlu ditujukan kepada seluruh bilik darjah dan bukannya hanya tertumpu kepada pelajar tertentu sahaja. Bagi penerimaan jawapan pula, guru perlulah memberikan pujian jika pelajar berjaya memberikan jawapan yang betul dan meminta pelajar lain membantu jika pelajar tersebut gagal memberikan jawapan yang tepat. Penerimaan kepada jawapan yang diberikan secara beramai-ramai seharusnya dielakkan atau dipandu-pantau dengan cermat.
Kemahiran pelbagai rangsangan merujuk kepada aktiviti yang dilakukan oleh guru untuk mempelbagaikan teknik penyampaian dalam menarik minat dan perhatian pelajar. Kemahiran ini meliputi kemahiran mengubah tingkah laku, suara dan stail pengajaran guru. Perubahan aktiviti pengajaran haruslah lancar dan berkaitan dengan langkah-langkah penyampaian isi pengajaran. Guru yang mampu menguasai kemahiran ini akan berupaya mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang kondusif, menarik dan menyeronokkan.
Kemahiran penggunaan bahan bantu mengajar (BBM) merupakan satu kemahiran yang penting untuk dikuasai oleh seorang guru. BBM yang digunakan ini mestilah mampu memberikan rangsangan dan minat kepada pelajar di samping mencetuskan idea pelajar berkenaan topik yang diajar oleh guru. Ia juga mestilah bersesuaian dengan objektif dan isi kandungan pelajaran, digunakan pada waktu yang sesuai dan maklumat yang ingin disampaikan melalui BBM tersebut mestilah jelas, ringkas, padat dan jitu. Kemahiran menerang merupakan satu proses untuk menyampaikan maklumat, konsep ataupun isi kandungan kepada pelajar dan kemahiran ini biasanya digunakan pada peringkat perkembangan proses pengajaran. Prinsip bagi kemahiran ini ialah penerangan yang diberikan perlulah sesuai, menggunakan bahasa yang sesuai, menggunakan BBM yang diuruskan secara berkesan dan berdasarkan pengetahuan pelajar.
Guru juga mestilah menggalakkan pelajar untuk bertanya agar pelajar dapat memahami konsep atau isi pelajaran dengan cepat, mudah dan tepat. Kemahiran pengukuhan pula digunakan oleh guru bagi mengubah tingkah laku pelajarnya. Bentuk pengukuhan perlulah berubah dari semasa ke semasa (secara lisan, gerak isyarat atau dampingan), bersesuaian dengan tingkah laku yang dilakukan oleh pelajar tetapi guru perlulah mengelak daripada menggunakan pengukuhan negatif. Kesan daripada penggunaan pengukuhan yang bersesuaian, pelajar akan lebih bersemangat dan berkeyakinan untuk mewujudkan tingkah laku yang positif sekaligus melahirkan satu hubungan yang mesra dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Kemahiran penggunaan papan tulis boleh dibahagikan kepada kejelasan, susunan, penonjolan dan juga teknik persembahan. Kejelasan yang dimaksudkan di sini meliputi saiz tulisan yang sesuai, tulisan yang kemas dan lurus. Jika gambar atau rajah diperlukan, ia perlulah dilukis dengan jelas dan ringkas. Susunan pula meliputi pembahagian ruang yang sesuai pada papan tulis, dapat dilihat dengan jelas oleh seluruh bilik darjah dan nota-nota disusun secara sistematik di sekitar tajuk utama pengajaran. Penonjolan pula merujuk kepada penggunaan kapur warna yang sesuai dan menarik manakala teknik persembahan merupakan teknik yang digunakan oleh guru untuk memudahkan idea ataupun isi pengajaran dengan membentuk satu konsep ringkas melalui carta, peta minda atau gambar rajah. Guru juga boleh melibatkan pelajar dalam penggunaan papan tulis.
Kemahiran penutup boleh dilihat dari segi perkaitan kognitif dan sosial. Penutup perkaitan kognitif dilakukan oleh guru dengan mengaitkan kembali isi-isi penting dengan penutup pelajaran. Guru juga boleh mengadakan tugasan sebagai pengukuhan seterusnya mengadakan aktiviti susulan untuk memastikan objektif yang ditetapkan dapat dicapai. Penutup perkaitan sosial pula dilakukan untuk menimbulkan rasa penguasaan dalam diri pelajar, membangkitkan rasa ingin tahu dan motivasi pelajar serta memberikan peneguhan positif kepada pelajar.
Kesimpulannya, terdapat banyak lagi pendekatan yang boleh dipraktikkan untuk mengurus bilik darjah. Segalanya bergantung kepada situasi yang akan dihadapi oleh guru dalam realiti dunia pendidikan ketika berhadapan dengan pelajar. Untuk menguruskan bilik darjah dengan baik, guru memerlukan ketekalan, kesedaran tentang erti keadilan, semangat juang yang tinggi dalam memahami fasa psikologi dan tahap perkembangan pelajar, berfikiran terbuka dan bersedia untuk belajar dari kesalahan agar guru dapat mencari jalan penyelesaian yang terbaik untuk proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah seterusnya kecemerlangan pelajar itu sendiri. Tangani segala apa yang berlaku di dalam bilik darjah dengan tenang, cepat, tegas dan fleksibel bergantung kepada tahap pelajar yang diuruskan. Seseorang guru perlulah bersedia sepenuhnya untuk melangkah masuk ke bilik darjah yang sebenar dengan melihat kepada keseluruhan aspek yang berkait rapat dengan bilik darjah dan pelajar yang akan diuruskan sepanjang sesi persekolahan nanti. Pengurusan bilik darjah yang cemerlang akan membantu dan melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah seterusnya meningkatkan motivasi pelajar di dalam bilik darjah tersebut seterusnya melakarkan kejayaan yang diidamkan.
4.3 Strategi Mengurus Bilik Darjah
Bilik darjah merupakan medan perjuangan utama seorang guru menjalankan tugas, peranan dan tanggungjawab. Seseorang guru akan diklasifikasikan sebagai tidak melaksanakan tugas sekiranya amanah ini diabaikan walaupun beliau merupakan seorang juara masyarakat yang paling komited di luar bilik darjah atau di luar sekolah. Seseorang itu tidak akan dikatakan sebagai pemain jika sekadar duduk di luar padang walaupun mempunyai kemahiran sebagai juara. Sehubungan dengan itu, bilik darjah perlu diurus dengan keadaan terbaik dan kondusif agar pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan efektif serta guru boleh dinobatkan sebagai pendidik berketerampilan cemerlang.
Pada asalnya, pengurusan bilik darjah merupakan kemahiran yang agak sukar dikuasai walaupun banyak teori dan teknik yang telah dipelajari oleh guru di universiti mahupun di institut-institut perguruan. Sekiranya kemahiran ini dapat dikuasai dan dihayati oleh guru, proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah akan menjadi pengalaman yang menyeronokkan. Bilik darjah yang mempunyai pelajar-pelajar yang bertingkah laku baik menjadikan tugas pengajaran guru “one of the most wonderful jobs in the world” kerana setiap hari guru mengalami pelbagai pengalaman yang baru dan berbeza di bilik darjah.
Guru berpeluang melihat pelajar mereka mempelajari sesuatu yang baru setiap hari; berpeluang melihat kepuasan di wajah pelajarnya bila mereka mendapat ilmu yang mereka tidak pernah ketahui atau alami sebelum ini. Walau apapun pelajar kita tidak mudah melupakan guru yang baik, tetapi apakah sebenarnya maksud menjadi seorang “guru yang baik?” Salah satu ciri yang asas untuk menjadi guru yang baik adalah kemampuan mengurus bilik darjah dan mengawal tingkah laku pelajar agar proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan lancar. Kemampuan mengawal tingkah laku pelajar menjadi sangat penting sekiranya seseorang guru mengajar di sekolah yang menghadapi masalah tingkah laku yang serius.
Fungsi utama anda sebagai seorang guru, adalah berusaha untuk memotivasi pelajar untuk belajar. Ini boleh berlaku sekiranya anda boleh membuat pelajar itu memberi sepenuh perhatian, berdisiplin dan bertingkah laku baik semasa sesi pengajaran anda. Setiap pelajar di sekolah memerlukan pendidikan yang baik yang boleh guru tawarkan. Menjadi tanggungjawab guru mencari jalan untuk mencapai matlamat ini. Di sesetengah sekolah mengurus dan mengawal tingkah laku para pelajarnya merupakan satu cabaran hebat yang perlu guru harungi bagi menjadikan pembelajaran dan pengajaran lebih kondusif di bilik darjah.
Guru-guru boleh mempelbagaikan kemahiran pengajaran dalam menjalankan tugas harian mereka di sekolah. Mereka perlu menjadi seorang yang pakar dalam subjek yang mereka ajar, dan juga mesti mempunyai kemahiran mengawal tingkah laku pelajar yang disruptif di bilik darjah agar proses pembelajaran dan pengajaran berlaku di bilik darjah. Guru-guru pelatih yang menjalani praktikum kerap kali dibiarkan mereka `sink or swim’ (Renard, 2003) dan ini mengakibatkan berlakunya kekecewaan dan kurang keyakinan di kalangan guru-guru pelatih dalam menghadapi realiti di bilik darjah. Idea-idea dan nasihat yang diberikan berdasarkan “common sense” dan pemerhatian serta strategi yang telah berjaya diaplikasikan di bilik darjah.
Pengurusan tingkah laku dalam bilik darjah merangkumi aspek fizikal dan teoritikal dalam menjayakan sebuah sesi PdPc. Hal ini termasuklah susunan perabot dalam bilik darjah hinggalah ke kaedah kawalan disiplin murid yang pelbagai samada melalui kaedah pembelajaran mahupun melalui bahasa badan. Oleh itu, sebagai seorang guru yang kompeten, kita haruslah sentiasa mengikuti perkembangan kaedah pendidikan dalam memastikan penyampaian pengetahuan menjadi lebih berkesan dan teratur. PdP tidak akan berjalan dengan baik jika adanya halangan daripada pihak murid itu sendiri. Oleh itu pengurusan yang rapi diperlukan bagi memastikan kelas terkawal serta membolehkan aktiviti yang dirancang berjalan dengan jayanya. Antara strategi mengurus bilik darjah ialah:
· Murid duduk dalam kumpulan 4-6 orang bagi tujuan pembelajaran kooperatif dan koloboratif yang memerlukan kerjasama setiap ahli kumpulan.
· Sudut maklumat yang mengandungi maklumat berkenaan kelas pengetahuan am serta bahan bantu mengajar bagi setiap subjek.
· Sudut parking lot yang membolehkan murid yang kurang keyakinan sewaktu di dalam kelas bertanya soalan atau meluahkan idea selepas waktu PdP.
· Sudut hasil kerja murid yang mempamerkan hasil karya murid daripada aktiviti semasa atau selepas PdP.
· Sudut OPEM dan kriteria pembelajaran bagi membolehkan murid menetapkan matlamat dalam pembelajaran sebelum PdP bermula lagi.
Susunan meja dalam bilik darjah memainkan peranan yang penting dalam membantu kelancaran PdP. Penyusunan perabot yang sesuai turut membantu dalam mengawal tingkah laku murid serta membantu dalam pelaksanaan pembelajaran kooperatif dan koloboratif.
5.0 SWOT
5.1 Strength (Kekuatan)
Kekuatan yang ada pada guru adalah hubungan yang rapat dengan anak murid. Ikatan yang erat membantu guru untuk mengenali dan memahami kehendak anak murid. Kekuatan yang terdapat di sekolah yang kami tinjauan ialah pelajar yang bersahsiah tinggi. Pelajar yang bersahsiah tinggi ini semestinya berdisiplin dan mendengar arahan. Hal ini membantu guru-guru untuk menyampaikan maklumat dan ilmu dengan mudah dan berkesan. Seterusnya, sekolah ini juga mengamalkan interaksi secara berkumpulan di dalam kelas. Hal ini menyebabkan aktiviti pembelajaran menjadi lebih berkesan.
5.2 Weaknesses (Kelemahan)
Kelemahan yang kami perolehi apabila melakukan tinjauan ke sekolah tersebut ialah pelajar yang terlalu ramai dalam kelas. Hal ini menyukarkan guru untuk mengetahui masalah atau kelemahan pelajarnya. Guru-guru sukar memberi perhatian kepada pelajarnya yang memerlukan. Kelemahan yang seterusnya ialah apabila pelajar sering masuk kelas lewat dan sering ke tandas. Perkara ini menjadi punca sebuah PdPC itu tidak berjalan dengan sempurna. Masa yang sepatutnya diperuntukan untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran terbuang apabila menunggu pelajar untuk masuk ke kelas. Kemudahan yang disediakan di sekolah telah rosak. Hal ini menyebabkan PdPC tidak berjalan dengan lancar. Bagi guru-guru yang menggunakan bahan bantu mengajar elektronik menjadi sukar untuk menerangkan sesuatu kepada pelajar.
5.3 Opportunity (Peluang)
Peluang yang terdapat di sekolah tinjauan kami ialah pelajar-pelajar di sekolah tersebut merupakan pelajar yang terpilih. Pelajar sekolah tersebut merupakan pelajar yang telah mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan umum. Hal ini merupakan peluang guru-guru untuk menggilap kelebihan yang terdapat pada pelajar sekolah itu. Aktiviti PdPc dapat dijalankan dengan mudah kerana pelajar yang mudah faham arahan. Selain itu, hubungan baik ibu bapa dan guru-guru juga merupakan peluang untuk mencapai kecemerlangan. Hal ini demikian kerana ibu bapa yang memberi sokongan padu terhadap anak-anak mereka. Contohnya, apabila pelajar diminta menyediakan bahan bantu mnegajar seperti ‘trafic light’ ibu bapa tidak menghalang anak-anak mereka membeli bahan penyediaannya.
5.4 Threat (Ancaman)
Halangan yang kami perolehi melalui tinjauan ke sekolah tersebut ialah kurang tumpuan pelajar di dalam kelas. Hal ini menyebabkan ada segelintir pelajar tidak mendapat keputusan yang cemerlang. Selain itu, masa PdPc yang pendek menyebabkan guru-guru tidak dapat menghabiskan silibus mengikut waktu yang telah dirancang.
6.0 RUMUSAN
Dalam pengurusan bilik darjah, guru-guru hendaklah mempunyai ilmu bagi mengawal apa sahaja faktor yang akan mempengaruhi corak dan suasana bilik darjah. Guru hendaklah mempunyai ilmu untuk mengawal faktor fizikal. Hasilnya terjelma suasana yang harmonis, ceria, dan semangat kepada murid dan guru. Guru juga mestilah mempunyai ilmu untuk mengawal faktor sosial iaitu perhubungan dan corak interaksi di antara murid dengan murid, khasnya di dalam bilik darjah. Guru-guru hendaklah mempunyai kebolehan untuk mempengaruhi emosi murid-murid. Hal ini demikian kerana faktor emosi ini akan menimbulkan pelbagai jenis tingkah laku murid di dalam kelas. Guru-guru mestilah mempunyai ilmu mengawal faktor teknikal. Pengawalan faktor teknikal ini penting bagi merangsang semangat dan kesediaan pelajar. Kejayaan seseorang guru sebagai pengurus di bilik darjah tidak semata-mata dinilai daripada aspek kemahiran dan teknik pengajaran dan pembelajaran semata-mata, malah kualiti peribadi dan sahsiah diri juga menjadi tarikan kepada murid-murid.
Bagi mengurus bilik darjah, guru-guru perlu mempunyai kemahiran seperti lebih bersedia dan merancang apakah yang akan kita lakukan pada kali pertama melangkah masuk ke dalam bilik darjah. Seterusnya, guru perlu memiliki kemahiran untuk menghargai murid seperti mengetahui nama dan latar belakang pelajarnya. Selain itu, guru hendaklah mengetahui prosedur bagi menetapkan peraturan di bilik darjah. Prosedur menetapkan peraturan di bilik darjah sangat penting sebagai garis panduan kepada tingkah laku pelajar di bilik darjah yang diharapkan oleh guru. Guru juga perlu membuat perancangan yang rapi berkaitan dengan susun atur di bilik darjah. Susunan yang baik seharusnya membolehkan guru memerhati semua pelajarnya dan seterusnya dapat mengendali bilik darjah dengan mudah. Tambahan lagi, guru juga perlu menyediakan menyediakan satu sudut yang boleh membantu pelajar mengisi masa yang terluang dalam satu suasana yang berbeza. Guru juga perlu membina dan menjaga hubungan baik dengan pelajar. Guru-guru perlu menitikberatkan keterampilan penyampaian ketika memulakan sesi pengajaran di bilik darjah.
Kemahiran set induksi merupakan kemahiran utama yang perlu dikuasai oleh seorang guru dalam menarik minat serta merangsang pelajar supaya menumpukan perhatian terhadap aktiviti pengajaran. Kemahiran menyoal meliputi teknik mengemukakan soalan kepada pelajar dan teknik penerimaan jawapan pelajar. Kemahiran menyoal boleh digunakan di setiap peringkat pengajaran seperti set induksi, perkembangan dan penutup pengajaran. Seterusnya, kemahiran pelbagai rangsangan merujuk kepada aktiviti yang dilakukan oleh guru untuk mempelbagaikan teknik penyampaian dalam menarik minat dan perhatian pelajar. Kemahiran penggunaan bahan bantu mengajar (BBM) merupakan satu kemahiran yang penting untuk dikuasai oleh seorang guru. BBM yang digunakan ini mestilah mampu memberikan rangsangan dan minat kepada pelajar di samping mencetuskan idea pelajar berkenaan topik yang diajar oleh guru. Kemahiran pengukuhan pula digunakan oleh guru bagi mengubah tingkah laku pelajarnya. Bentuk pengukuhan perlulah berubah dari semasa ke semasa. Kemahiran penggunaan papan tulis boleh dibahagikan kepada kejelasan, susunan, penonjolan dan juga teknik persembahan. Kejelasan yang dimaksudkan di sini meliputi saiz tulisan yang sesuai, tulisan yang kemas dan lurus. Kemahiran penutup boleh dilihat dari segi perkaitan kognitif dan sosial. Penutup perkaitan kognitif dilakukan oleh guru dengan mengaitkan kembali isi-isi penting dengan penutup pelajaran.
Strategi mengurus bilik darjah ialah ruang santai bagi membolehkan murid melepaskan tekanan dengan melakukan aktiviti santai seperti membaca dan malah berbaring sebentar. Seterusnya, murid duduk dalam kumpulan 4-6 orang bagi tujuan pembelajaran kooperatif dan koloboratif yang memerlukan kerjasama setiap ahli kumpulan. Sudut maklumat yang mengandungi maklumat berkenaan kelas pengetahuan am serta bahan bantu mengajar bagi setiap subjek. Disamping itu, sudut parking lot yang membolehkan murid yang kurang keyakinan sewaktu di dalam kelas bertanya soalan atau meluahkan idea selepas waktu PdP. Seterusnya, sudut hasil kerja murid yang mempamerkan hasil karya murid daripada aktiviti semasa atau selepas PdP. Sudut OPEM dan kriteria pembelajaran bagi membolehkan murid menetapkan matlamat dalam pembelajaran sebelum PdP bermula lagi. Susunan meja dalam bilik darjah memainkan peranan yang penting dalam membantu kelancaran PdP.
RUJUKAN
Amirul Syarief (2017), Pengurusan Bilik Darjah Dan Tingkah Laku Abad Ke-21.
Dr Ragbir Kaur A/P Joginder Sigh. 2007. Panduan Ulangkaji Pendidikan Untuk KPLI Sek. Men. Dan Sek. Ren. Kumpulan Budiman Sdn Bhd, Subang Jaya.
Ee Ah Meng. (2008). Pendidikan di Malaysia, Falsafah Pendidikan, Guru dan Sekolah (edisi kedua). Kuala Lumpur: Fajar Bakti.
Haliza Hamzah. (2014). Pengurusan bilik darjah dan tingkah laku. Selangor: Oxford Fajar Sdn.Bhd.
Mohd Hasani Dali & Mohamad Johdi Salleh (2009). Pengurusan Bilik Darjah. Dalam Noraini Idis dan Shuki Osman, Pengajaran dan Pembelajaran: Teori dan Praktis. Kuala Lumpur: McGraw Hill.
Mok Soon Sang. 2008.Ilmu Pendidikan Untuk KPLI (Sek. Rendah: Komponen 1 & 2) Psikologi Pendidikan & Pedagogi. Kumpulan Budiman Sdn. Bhd., Subang Jaya.
Poster Kumpulan Pengurusan Bilik Darjah
Slaid Kumpulan Pengurusan Bilik DarjahPoster Kumpulan Pengurusan Bilik Darjah
Comments
Post a Comment