BAB 3 ORGANISASI DAN KEPIMPINAN

BAB 3 ORGANISASI DAN KEPIMPINAN
RUMUSAN BAB 3
Kepimpinan dan organisasi perlu di dalam sesebuah sekolah atau bilik darjah. Perkara ini penting untuk membangunkan pentadbiran dan pengurusan sekolah dengan baik dan susun teratur mengikut organisasi yang telah ditetapkan. Organisasi yang baik mempunyai orientasi visi misi ke depan. Kejayaan organisasi bergantung pada kepimpinan yang berwibawa. Kepimpinan adalah seni bagi mempengaruhi tingkah laku manusia, kemampuan bagi membimbing orang, mempengaruhi dan membimbing seseorang untuk mencapai tujuan-tujuan tertentu yang mempunyai cara dan seni sendiri. Konsep kepimpinan sekolah mampu mempengaruhi, memotivasikan, mengubah sikap dan tingkah laku subordinat atau orang bawahan seperti guru, staf dan pelajar agar bersetuju melaksanakan programprogram dan melakukan perubahan untuk mencapai matlamat sekolah,

Pengetua sekolah haruslah bijak mengawal situasi dengan pemikiran yang terbuka agar semua pihak tidak kecewa dan berpuas hati dengan tindakan dan arahan yang diberi. Tidak mengongkong dan membuat kawalan yang ketat pada setiap masa. Akan tetapi membuat kawalan ketat apabila situasi yang perlu diberi perhatian. Gaya kepimpinan perlualah berbalik kepada konsep kepimpinan iaitu mendorong orang lain supaya dapat menghidupkan suasana yang harmoni dan tidak berlaku sebarang konflik antara pelajar dan guru di sekolah mahupun bilik darjah. Pengetua sekolah dan guru-guru perlu bertegas dalam membuat sebarang keputusan mengenai disiplin dan berkaitan dengan peraturan sekolah. Pengetua sekolah dan guru haruslah menggunakan gaya kepimpinan yang konsisten untuk mendidik pelajar di sekolah dan di dalam bilik darjah.

Organisasi sekolah diketuai oleh pengetua sekolah. Pengetua dibantu oleh Penolong Kanan Pentadbiran, Penolong Kanan Petang, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Kaunselor dan Penolong Kanan Kokurikulum. Peranan pengetua meliputi pelbagai bidang termasuk kepimpinan, penilaian guru, disiplin pelajar, dan banyak lagi. Pengetua bertanggungjawab untuk pengurusan dan operasi harian sekolah.Seterusnya, penolong kanan merupakan individu yang akan menjalankan tugas Pengetua apabila ketiadaan Pengetua disekolah. Penolong Kanan Pentadbiran melibatkan dua bahagian yang utama iaitu bahagian pentadbiran dan bahagian kurikulum. Seterusnya penolong pengetua juga perlu memastikan setiap perjalanan panitia mata pelajaran serta menyediakan segala peralatan teknologi pendidikan, makmal, pusat sumber berserta bengkel sekolah. Di bawah bahagian kurikulum, ia dibantu oleh Guru Kanan Mata Pelajaran dan Pusat Sumber. Peranan Guru Kanan Mata Pelajaran adalah memastikan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan, mentadbir dan mengurus kurikulum bidang mata pelajarannya, mengurus stor dan inventori bidang mata pelajarannya dan seterusnya memastikan kemajuan staf akademik dan bukan akademik dalam bidang mata pelajarannya. Selain itu, guru kanan mata pelajaran juga memainkan peranan sebagai penyelaras panitia bidang mata pelajaran. Peranan ketua panitia pula secara umumnya ialah membantu pengetua merancang, mengelola dan melaksanakan program kecemerlangan khusus kepada mata pelajaran berkaitan di sekolah. Antara bidang dan senarai tugas guru mata pelajaran ialah mempunyai sebuah buku rekod mengajar yang kemaskini dan menyerahkan kepada pengetua pada masa yang ditetapkan setiap minggu. Selain itu, memiliki, memahami dan boleh mentafsirkan serta menghuraikan kandungan sukatan mata pelajaran yang berkenaan.

Penolong Kanan Hal Ehwal Murid juga merupakan salah seorang individu yang perlu menjalankan tugas pengetua apabila ketiadaan pengetua disekolah. Aspek tugas Penolong Kanan Hal Ehwal Murid melibatkan empat bahagian iaitu disiplin, pendaftaran pelajar, kantin dan SPBT. Dari segi disiplin, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid bertanggunjawab dalam menerapkan nilai murni dalam kalangan pelajar. Selain itu, individu yang terpenting dalam carta organisasi adalah Penolong Kanan Kokurikulum. Penolong Kanan Kokurikulum bertanggungjawab dalam membantu pengetua dalam mencapai matlamat Dasar Pendidikan Kebangsaan. Dari segi pentadbiran, beliau perlu menyusun dan menyelaras segala kegiatan Kokurikulum serta menyediakan anggaran-anggaran peruntukkan untuk pengurusan Kokurikulum.

Bidang tugas ahli jawatankuasa sekolah yang lain ialah guru memainkan peranan mengajar dan mendidik. Namun terdapat tugas-tugas lain seperti menjaga disiplini pelajar, membantu dalam mentadbir sekolah dan menjaga pelajar. Guru panitia pula menentukan penggunaan DSKP pelajaran yang terkini dan bertanggungjawab menyediakan rancangan pelajaran mingguan, bulanan dan penggal. guru disiplin memastikan pelajar mematuhi dan mengamalkan peraturan sekolah dan menyediakan rekod disiplin pelajar. Guru penyelaras pula mengurus dan menyelenggara kemudahan ICT dan perisian aplikasi yang dibekalkan. Guru SPBT menguruskan pengurusan am, pengurusan keperluan buku teks SPBT dan penerimaan bukut teks SPBT. peranan guru penolong kanan tingkatan enam pula ialah merancang dan mengurus pembukaan kelas tingkatan enam di sekolah. Guru Penolong Kanan Tingkatan Enam juga menyelaras semua tugas guru tingkatan enam seperti penyelidikan, gubal item, penilaian, konsultasi dan persediaan.

Dalam sesebuah organisasi, kepimpinan yang wujud di sekolah adalah kepimpinan formal. Kepimpinan formal merujuk kepada seseorang individu atau kumpulan dimana mereka memainkan peranan kepimpinan ke atas pengikutnya mengikut autoriti formal diperolehi lanjutan daripada jawatan dalam hierarki organisasi. Sifat kepimpinan dalam diri disokong oleh teori kepimpinan iaitu teori sifat. Teori sifat ada menekankan aspek keyakinan diri, bercita-cita tinggi dan kemahuan untuk bermimpin hendaklah diberi penekanan untuk melayakkan diri untuk menjadi pemimpin. Hubungan baik seluruh warga sekolah juga penting bagi meningkatkan keberkesanan kepimpinan. pengetua amat memainkan peranan penting sebagai pemimpin kepada orang di bawahnya di mana tingkah laku pemimpin amat mempengaruhi dalam keberkesanan kepimpinan tersebut. Ini adalah kerana pemimpin merupakan role model kepada orang disekelilingnya terutamanya di sekolah di mana setiap tingkah laku yang ditunjukkan oleh pemimpin akan diperhatikan dan menjadi ikutan kepada orang di bawahnya.

Tingkah laku kepimpinan juga digerakkan oleh tugasan atau perhubungan antara manusia dan diperjelaskan dalam tiga aspek iaitu hubungan pemimpin dengan ahli, struktur tugasan dan kedudukan kuasa. Aspek pertama iaitu hubungan pemimpin di mana ia melibatkan sejauhmana pemimpin diterima dan disokong oleh ahli. Dari segi struktur tugasan pula merujuk kepada kejelasan tugas dan kejelasan peranan warga sekolah dalam melaksanakan tugas tersebut. Akhir sekali, kedudukan kuasa dimana pemimpin mempunyai kuasa rasmi yang kuat untuk melantik, mendisiplin, menukar, menentukan pangkat, maka situasi ini semestinya akan menyokong proses kepimpinan.

Gaya kepimpinan terbahagi kepada tujuh iaitu autokratik, demokratik, laissez-faire, kontigensi, asertif, responsif dan agresif. Gaya kepimpinan autokratik merujuk kepada hubungan sehala di antara pemimpin dengan yang dipimpin. Gaya kepimpinan demokratik lebih liberal di mana pengetua akan berbincang dan menerima pandangan oleh semua pihak. Gaya kepimpinan demokratik adalah gaya yang paling berkesan daripada gaya kepimpinan yang lain. Laissez-faire pula melibatkan pemimpin yang sedikit sekali menggunakan kuasanya dan memberi orang bawahannya sepenuh kebebasan untuk mengendalikan kerja mereka. Di samping itu, kepimpinan kontigensi pula kepimpinan mengikut situasi di mana tiada cara khusus yang sama dalam semua keadaan untuk memimpin dan mentadbir organisasi sekolah. Kaedah kepimpinan kontigensi memusatkan perhatiannya pada hukum situasi (Law of The Situation). kepimpinan asertif adalah sikap di mana seseorang mampu bertindak sesuai dengan keinginannya, membela haknya dan tidak dimanfaatkan oleh orang lain. Terdapat tiga jenis tingkah laku yang digunakan oleh individu dalam berkomunikasi iaitu asertif (tegas diri), pasif dan dan agresif. Akhir sekali, gaya kepimpinan agresif adalah sifat yang self -centered iaitu hanya mengutamakan hak, kepentingan, pendapat, kehendak dan perasaan sendiri serta mengabaikan hak orang lain. Golongan jenis ini selalu berasa bahawa hanya dirinya yang paling benar sehingga membawa kepada kesombongan dan memandang rendah terhadap orang lain.

Gaya kepimpinan dalam pendidikan iaitu gaya kepimpinan transformasi, kepimpinan transaksi dan kepimpinan instruksional. Kepimpinan transformasi merujuk kepada pengiktirafan kapasiti organisasi untuk mencapai matlamat melalui pembangunan visi, komitmen terhadap perubahan yang dikongsi bersama dan sokongan terhadap sebarang perubahan untuk penambahbaikan proses pengajaran dan pembelajaran. Terdapat dua ciri kepimpinan transformasi yang dikenal pasti ialah ia bersifat distributif dan menjurus kepada pembangunan kapasiti setiap individu di dalam komuniti. Terdapat empat dimensi kepimpinan transformasi iaitu memupuk pengaruh yang ideal, menyediakan motivasi berinspirasi, membina rangsangan intelektual dan menunjukkan pertimbangan individu. Pemimpin transaksi mengenal pasti dan menjelaskan tugas-tugas dan memberitahu bahawa kejayaan pelaksanaan tugas-tugas tersebut akan menuju kepada penerimaan di mana pemimpin transaksi menjanjikan ganjaran kepada pengikut jika berjaya mencapai satu tahap prestasi yang telah ditetapkan dalam jangka masa tertent. Kepimpinan instuksional boleh didefinisikan sebagai gabungan penyeliaan, pembangunan staf dan perkembangan kurikulum.

Terdapat dua konsep utama dalam membentuk ciri-ciri kepimpinan guru iaitu guru tidak hanya bertanggungjawab dan memainkan peranannya dalam batasan ruang lingkup bilik darjah malah berperanan membimbing pelajar dan teman sekerja ke arah matlamat yang hendak dituju. Selain itu, kepimpinan guru merangkumi kepimpinan bilik darjah dan kepimpinan pengajaran. Orang yang dimaksudkan untuk menjadi sebagai pemimpin dalam bilik darjah ialah guru kelas atau guru subjek serta murid-murid yang diberi kuasa untuk memimpin sewaktu guru hadir ataupun tidak. Ciri-ciri guru berkepimpinan berkesan ialah membuang sifat mementingkan diri, bijak membuat keputusan, menjadi teladan kepada murid-murid dan sentiasa mengamalkan pembelajaran berterusan. tiga kemahiran kepimpinan guru iaitu kebolehan mempengaruhi pelajar ataupun rakan setugas dan bertindak sebagai fasilitator, mentor, pembimbing, pakar kurikulum, pembentuk pendekatan yang baru menerajui kumpulan pembelajaran.

Di samping itu, beberapa kompeten kepimpinan guru iaitu memiliki ilmu pengetahuan yang luas, mendalam dan terkini, cekap menggunakan segala sumber yang ada secara optimum, memiliki budaya jati diri, mempunyai wawasan organisasinya, berkebolehan menterjemah wawasan menjadi pelan tindakan yang praktikal dan fleksibel, mengamalkan budaya beretika, mahir berkomunikasi dengan berkesan dan produktif. Gaya pengajaran juga penting dalam kepimpinan guru supaya pelajar dapat memahami ilmu yang disampaikan guru dengan baik. kepimpinan guru masakini yang dapat dilakukan guru ialah menjadi penjana budaya sekolah, kepimpinan pelbagai kebolehan, kepimpinan pengajaran, kepimpinan membuat keputusan, kepimpinan menguruskan bilik darjah, kepimpinan pengupayaan, pembentukan kumpulan kerja dalam bilik darjah, memperkasa kecerdasan emosi pelajar dan mengamalkan komunikasi berkesan.


PETA MINDA BAB 3 PENGURUSAN PEMBELAJARAN

NOTA TAMBAHAN
Terdapat pelbagai takrifan yang diberikan kepada kepimpinan. John Maxwell (1998) mentakrifkan kepimpinan sebagai kemampuan seorang pemimpin mempengaruhi orang lain dalam melakukan sesuatu manakala Peter Drucker (1996) begitu ringkas merujuk kepimpinan sebagai pemimpin dan pengikut dalam sesebuah organisasi. Dalam hubungan ini, Robert P. Vecchio (1997) telah menggambarkan kepimpinan dengan agak menyeluruh seperti berikut iaitu "Leadership has been conceived as the focus of group processes, as a matter of personality, as a matter of inducing compliance, as the exercise of influence, as a form of persuasion, as a power relations, as an instrument to achieve goals, as an effect of interaction, as initiation of structure, and as many combinations of these definitions" Pemimpin sememangnya telah diiktiraf sebagai faktor penting yang menerajui organisasi bagi menuju wawasan, matlamat dan objektif yang ditetapkan. Keupayaan pemimpin dalam menerajui organisasi telah diterima sebagai faktor yang boleh menentukan kejayaan dan kegagalan organisasi berkenaan. Perspektif terhadap kepentingan kepimpinan sebenarnya boleh dijejaki daripada penulisan akademik sejak zaman berzaman lagi, misalnya karya lama Pluto dalam Republic dan Aristotle dalam Politics. Penulisan mengenai kepimpinan terus berkembang dan teori serta model kepimpinan oleh penulis era moden dapat dilihat misalnya daripada Sloan Leadership Model, Hersey and Blanchard Situational Leadership Model, Covey's Principally Centered Leadership Model dan Contigency Model of Leadership Effectiveness. Pemimpin yang berjaya mencorakkan pembangunan negara seperti Abraham Lincoln, Ghandi, Suharto dan pemimpin dunia perniagaan yang berjaya menukar haluan organisasi sehingga menjadi organisasi berjaya seperti Jack Welch (General Electric), Rupert Murdoch (Newscorp) dan Stephen Case (American Online) misalnya telah menjadi model kajian dan model pemimpin yang perlu diikuti. Perkara ini secara tidak langsung menggambarkan nilai yang tinggi diberikan kepada aspek kepimpinan organisasi.  

PERANAN DAN FUNGSI PEMIMPIN DALAM ORGANISASI 
Pemimpin melaksanakan pelbagai fungsi kepimpinan yang membawa kepada kecemerlangan, keberkesanan dan kecekapan organisasi. Dalam hal ini, peranan pemimpin dan pengurus perlulah dibezakan di mana pengurus adalah pegawai yang melaksanakan fungsi pengurusan dan pentadbiran organisasi berasaskan prosedur dan garis panduan yang ditetapkan manakala pemimpin adalah seorang yang mengemudi hala tuju dan strategi organisasi dengan melaksanakan peranan yang lebih daripada pengurusan dan pentadbiran semata-mata.  
i. Pemimpin Menetapkan Wawasan Dan Hala tuju Organisasi Pemimpin hendaklah berupaya memandang ke hadapan dan menetapkan wawasan (vision), hala tuju dan strategi jangka pendek dan jangka panjang organisasi setelah mengambil kira berbagai faktor dalaman dan luaran termasuk kelemahan dan kekuatan organisasi bagi membawa organisasi ke tahap yang lebih tinggi dari segi kecekapan dan keberkesanan serta memenuhi matlamat dan objektif. Melalui proses ini, barulah segala faktor-faktor dalaman organisasi baik struktur, sistem, sumber manusia dan sebagainya akan dapat dipandu untuk menuju ke arah wawasan dan hala tuju yang ditetapkan oleh pemimpin. Banyak penulisan akademik yang membicarakan tentang hubung kait pemimpin dan wawasan. Warren Bennis misalnya telah menyatakan bahawa "The most indispensable quality of a good leader is a guiding vision and a clear idea of what he or she wants to accomplish". Beliau seterusnya menyatakan bahawa "leaders are people who do the right things that leaders think about dreams, missions, visions, strategic intent and purpose"
ii. Pemimpin Menggembleng Sumber Termasuk Sumber Manusia ke Arah Hala tuju Organisasi Pemimpin bukan setakat memastikan pekerja melaksanakan kerja secara rutin tetapi berupaya berkomunikasi dan mempengaruhi mereka supaya percaya, taat dan sanggup bekerja keras dengan menggembleng dan mengutilisasikan segala sumber dan peralatan organisasi ke arah mencapai visi dan halatuju yang ditetapkan. Robert Spitzer dalam The Spirit of Leadership (2000) telah menyatakan bahawa salah satu kualiti pemimpin yang cemerlang ialah keupayaan berkomunikasi secara rasional dengan pekerja bagi mewujudkan semangat dan kepercayaan (spirit and trust) ke arah pencapaian visi dan objektif organisasi. Rowan Gibson dalam Rethinking The Future (1998) menyebut bahawa "Above all, leaders will have a vision, a passion, an aspiration. And this aspiration, once shared with everybody in the organization will unleash tremendous human energy" 
iii. Pemimpin Memupuk Motivasi Pekerja Pengurus mengawal tingkah laku pekerja tetapi pemimpin akan menjadi inspirasi terhadap usaha mempertingkatkan motivasi, morale, komitmen dan esprit de corps pekerja dengan melaksanakan pengurusan sumber manusia yang memberi peluang meningkatkan kemahiran serta pembangunan kerjaya di samping menerapkan budaya organisasi yang antaranya berasaskan nilai, etika, pengiktirafan dan kebajikan. Pekerja yang bermotivasi dan merasa sumbangan mereka dihargai oleh pemimpin organisasi pastinya akan memberi perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan. 
iv. Pemimpin Membangunkan Keupayaan Strategik Organisasi Organisasi mempunyai beberapa lapisan hierarki serta cawangan-cawangan dan unit-unit berbeza yang masing-masing mempunyai sumber sendiri baik dan segi peralatan, anggota dan sistem kerja yang akan merancang dan melaksanakan berbagai jenis program dan aktiviti. Dalam hal ini, pemimpin adalah merupakan faktor yang akan membangunkan keupayaan (Build capabilities) dan menggubal strategi-strategi yang akan mengintegrasikan program-program dan aktiviti-aktiviti ini supaya bergerak seiringan dan harmoni dalam menuju kepada matlamat dan sasaran organisasi. 
v. Pemimpin Merealisasikan Perubahan Organisasi beroperasi dalam persekitaran dinamik yang sentiasa berubah. Globalisasi, perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi, ekonomi berasaskan pengetahuan dan sebagainya telah menghadirkan cabaran—cabaran yang menuntut perubahan terhadap cara dan kaedah organisasi ditadbir urus bagi memastikan organisasi berupaya menghadapi cabaran-cabaran berkenaan dan pada masa yang sama merebut peluang yang dihadirkan oleh cabaran-cabaran tersebut. Pemimpin adalah merupakan faktor terpenting dalam aspek ini yang membuat keputusan strategik bagi merealisasikan perubahan supaya faktor-faktor dalam organisasi seperti struktur, strategi, sumber manusia, kemahiran, sistem dan nilai organisasi yang dikongsi bersama akan diselarikan (align) bagi menghadapi cabaran berkenaan dan merebut peluang yang terbulca. 
vi. Pemimpin Membawa Organisasi Memenuhi Tuntutan Masa Hadapan Terdapat organisasi yang pupus kerana gagal memenuhi tuntutan masa hadapan. Faktorfaktor dalam organisasi tidak akan berubah sendiri tanpa pemimpin yang berfikiran jauh yang boleh memacu organisasi untuk bergerak ke hadapan. Birchall dan Lyons dalam Creating Tomorrow's Organization telah menyatakan bahawa organisasi masa hadapan akan berbentuk virtual dan beroperasi dengan melibatkan tahap penggunaan teknologi komputer dan ICT secara menyeluruh. Organisasi masa hadapan juga perlu memberi perhatian kepada isu-isu good governance, synergistic collaboration antara sektor awam, swasta dan masyarakat, conformity kepada undang-undang sosial dan alam sekitar, perkongsian pintar antara organisasi dan sebagainya. Dalam hal ini, pemimpin akan menjadi faktor terpenting yang akan memandu organisasi kepada perubahan dan segi visi, falsafah pengurusan, struktur, sistem dan budaya kerja bagi memastikan ianya berupaya memenuhi keperluan dan tuntutan organisasi masa hadapan.

Rujukan
Dato' Mohtar bin Abas. Pembangunan Kepimpinan dalam Organisasi. Jurnal Pengurusan Awam Jilid 4 Bilangan 1. Julai 2005.

Untuk kembali ke BAB 1 MENGURUS PEMBELAJARAN, sila klik link di bawah:
https://kpspengurusan.blogspot.com/2019/05/bab-1-mengurus-pembelajaran-1.html

Comments

Popular posts from this blog

PENGURUSAN BILIK DARJAH

BAB 1 MENGURUS PEMBELAJARAN